Kerajaan Sambut Baik Kolaborasi Usahawan Terengganu-Indonesia

KUALA TERENGGANU, 18 Disember – Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama perniagaan antara usahawan Republik Indonesia dengan Terengganu yang bertujuan memasarkan produk Terengganu ke negara jiran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata usaha sama itu membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran produk mereka hingga ke peringkat luar negara.

"Usahawan negeri Terengganu mempunyai peluang amat besar untuk menembusi pasaran perniagaan negara tersebut kerana jumlah penduduknya mencecah kira-kira 278 juta orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menembusi Pasaran Indonesia di Hotel Paya Bunga di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MATRADE Terengganu Zaimah Osman, Ketua Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Draman dan Raja Muda Kabaena, Wakil Kesultanan Indonesia dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia, Dr Yurisman Star.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata kerjasama strategik turut diadakan dengan sebuah syarikat Indonesia PT Larra World, bertindak sebagai ejen kemasukan produk usahawan Terengganu ke republik itu.

“Dengan pengalaman yang ada pada PT Larras World, lebih-lebih lagi daripada pihak MATRADE akan dapat membantu lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk memasarkan produk mereka ke Indonesia,” ujarnya.

Di samping itu katanya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan berperanan membantu usahawan Terengganu mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara termasuk ke republik itu.

“Saya berharap jalinan hubungan (usahawan Terengganu dan Indonesia) hari ini akan terus mekar dan mampu menyumbang kepada perkembangan keusahawanan sekali gus dapat membantu mengembangkan ekonomi negeri Terengganu,” jelasnya.


Tag: