Kerajaan Terengganu Lulus 40,977 Lot Tanah Kepada Rakyat

KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 40,977 lot tanah kepada rakyat Terengganu sejak Mei 2018 hingga Februari 2025.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak  30,771 melibatkan permohonan tanah bangunan dan 10,206 permohonan tanah pertanian.

"Setiu merekodkan kelulusan tanah tertinggi iaitu sebanyak 8,364 lot diikuti Kemaman (7,997); Dungun (7,817); Marang (6,542); Hulu Terengganu (4,204); Besut (3,853); Kuala Nerus (1,181) dan Kuala Terengganu (1,019)," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 7,721 lot 'tanah terkilan' (tanah dirampas kerajaan terdahulu) kepada rakyat sejak mengambil alih pentadbiran Terengganu pada Mei 2018 hingga Februari lalu.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,303 lot tanah adalah melibatkan tapak rumah.

"Selain itu, sebanyak 1,418 lagi ialah kelulusan yang melibatkan tanah pertanian," katanya.