Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 26 Disember - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bekerja keras untuk memastikan semua rakyat yang layak menerima bantuan tidak tercicir daripada mendapat hak mereka.
Pembantu Hal Ehwal Kemasyaratan, Muhammad Muaz Anuar memberitahu, mereka mensasarkan golongan yang sepatutnya menerima bantuan di DUN tersebut akan mendapat paling kurang salah satu bentuk bantuan.
"Samada bantuan berkala atau bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) , Tabung Darul Iman (TDI) atau bantuan langsung dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujar beliau.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun menyerahkan keperluan dan cek sumbangan TDI di bawah skim bantuan pesakit kronik kelmarin.
"Hari ini kita ziarah sehari suntuk mengiringi ADUN Rantau Abang Cikgu Alias Harun ke rumah keluarga penerima yang terlibat.
"Iaitu di Kampung Alor Tempoyok, Kampung Gong Pasir, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Serdang, Kampung Padang Pulut serta Kampung Seberang Pintasan," jelasnya lagi.
Menurutnya, cek sumbangan berkala dengan pelbagai nilai dari RM500 sehingga RM800 adalah berdasarkan situasi pesakit yang menerima.