Kerjasama Pendidikan Terengganu-Negeri Sembilan Langkaui Tembok Politik

Delegasi kerajaan Terengganu bersama exco pendidikan NS dan pentadbiran KoKoJel.
JELEBU, 8 Januari- Terengganu dengan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif untuk menjalin kerjasama pendidikan demi kebaikan generasi muda di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri,  Maliaman Kassim berkata, kerjasama dalam membangunkan pendidikan tidak menjadi halangan walaupun kedua-dua negeri mempunyai fahaman politik berbeza.

"Dalam bidang pendidikan, kita perlu buat kerjasama dalam semua pihak dan kunjungan ini  mengharapkan satu kerjasama yang baik dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja sehari ke Kolej Komuniti Jelebu (KoKoJel), di sini, semalam. 

Lawatan kerja itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS), Dr. Wan Mat Sulaiman; Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said; Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah dan pegawai khas Exco Pendidikan negeri, Abdullah Suhaimi.
Meninjau rumah 'interlocking brick system' (IBS) yang dibina oleh pelajar KoKoJel.
Pandangan tersebut turut dipersetujui Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek yang turut menyertai kunjungan berkenaan.

"Kami mengalu-alukan kedatangan rombongan Kerajaan Terengganu ke negeri ini, khususnya di KoKoJel untuk kerjasama pendidikan.

"Kita sangat menggalakkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan sahaja bertindak sebagai pusat pembelajaran tetapi juga penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menghasilkan produk  yang boleh dikomersialkan. Saya berkeyakinan dengan R&D KoKoJel seperti penghasilan rumah yang kondusif dengan kos rendah, jika dilaksanakan ia dapat membantu rakyat yang berpendapatan rendah," katanya.

Sementara itu, Pengarah KoKoJel, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Muhammad Aznor Abdul Aziz menyambut baik hasrat Kerajaan Terengganu.
Muhammad Aznor menerangkan tentang inovasi yang berjaya mendapat pengiktirafan pelbagai peringkat dan berpotensi dikomersialkan.
Menurut beliau lagi, program julung kali itu mampu berkongsi pengalaman dan memanfaatkan infra yang ada untuk pelajar di seluruh negara, khususnya di kedua-dua negeri ini.

Muhammad Aznor memberitahu, kolej itu berjaya menghasilkan pelbagai inovasi dan melihat kerjasama berkenaan sebagai ruang untuk mengetengahkan produk baharu serta inovasi itu secara komersial.

"Sekiranya ada kolaborasi mungkin  kita dapat komersialkan inovasi ini dan mendapat pulangan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada kerajaan sendiri," katanya.
Kemudahan lengkap bantu pelajar lebih cemerlang.


Maliaman melihat kunjungan tersebut dapat dimanfaatkan untuk membangun potensi anak-anak Terengganu dalam kepakaran-kepakaran tertentu.

"Terima kasih di atas bingkisan kerjasama yang diperolehi hari ini.

"Berdasarkan lawatan ini terdapat dua perkara yang boleh ditingkatkan iaitu kemungkinan untuk  menempatkan pelajar Terengganu di sini bagi mempelajari bidang yang ditawarkan.

"Keduanya ialah membawa pulang teknologi yang ada dalam bentuk teknologi itu sendiri atau bahan yang diberikan (diproses) teknologi  itu ke Terengganu untuk ambil manfaat kerajaan Terengganu," katanya.
Delegasi kerajaan Terengganu bersama tulang belakang KoKoJel.









Tag: