Kerjasama SATU, TNB Pasang Sistem Solar Di Tiga Loji Rawatan Air

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menjalin kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd bagi pemasangan sistem solar di tiga loji rawatan air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, melalui Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui yang ditandatangani itu, mencerminkan komitmen SATU terhadap kelestarian dan pengamalan amalan mesra alam dalam sektor perkhidmatan air.

"Projek ini akan melibatkan tiga loji terbesar daripada 15 loji milik SATU iaitu iaitu Loji Rawatan Air Bukit Sah di Kemaman dengan pemasangan sistem solar berkapasiti 508 kWp, Loji Rawatan Air Kepong I & II di Kuala Terengganu (1275 kWp) dan Loji Rawatan Air Hulu Terengganu (542 kWp).

"Dengan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 2.325 MWp, kemudahan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyediaan air terawat yang bersih dan selamat kepada masyarakat Terengganu, serta meminimakan kesan terhadap alam sekitar," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, semalam.

Ts Abdul Karim dipihak SATU dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Elmie Fairul Mashuri yang mewakili GSPARX menandatangani perjanjian itu dengan disaksikan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia.

Mengulas lanjut, Ts Abdul Karim berkata, pelaburan hampir RM8 juta telah diperuntukkan termasuk kos penyelenggaraan selama lima tahun bagi projek tersebut yang dijangka mampu memberikan manfaat yang signifikan.

"Dalam tahun pertama sahaja, penjimatan dianggarkan mencapai RM1.18 juta, dan dalam tempoh 25 tahun, jumlah penjimatan dijangka dapat mencapai RM26.89 juta.

"Selain itu, projek ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,938.09 metrik tan setiap tahun, yang bersamaan dengan manfaat ekologi dari 2,651.23 ekar hutan yang disimpan setiap tahun, " ujarnya.

Katanya, dalam konteks kelestarian global yang semakin mencabar, peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar menjadi sangat penting. 

"Inisiatif ini perlu menjadi fokus lebih banyak organisasi di Malaysia, SATU percaya bahawa kelestarian alam adalah kunci untuk melindungi persekitaran dan memastikan masa depan yang lebih baik. 

"Perjanjian ini mencerminkan usaha aktif untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan dalam operasi," jelasnya.