Kes Jenayah Siber Perlu Diatasi Segera



Penyebaran maklumat yang tidak terbukti kesahihannya atau berunsur fitnah, terutama melalui laman sosial perlu segera dibanteras dan dielakkan.

Oleh itu, orang ramai khususnya ibu bapa perlu mendidik anak-anak betapa pentingnya untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi bagi tatapan umum.

Menyedari hakikat itu, Puspanita Kebangsaan dengan kerjasama Cybersecurity Malaysia mengadakan Program Inovasi Sosial MOSTI, Ops Jelajah Cyber edisi Terengganu, selama dua hari berakhir esok (3 Mei) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu.

Timbalan Pengerusi 1 Puspanita Cawangan Terengganu, To’ Puan Kamsiah Dollah, berkata dia menyarankan peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengetahuan melalui sesi ceramah dan latihan yang disediakan dalam program itu.


Katanya, ilmu yang diperoleh pastinya menjadi bekalan terbaik untuk berdepan dengan isu semasa yang berkaitan dengan ancaman alam siber di negara ini.

“Diharapkan kita akan menjadi lebih peka terhadap apa juga gejala yang melanda melalui ancaman siber dengan penuh kesiapsiagaaan dan menanganinya dengan lebih bijaksana.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, aspirasi kerajaan adalah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dan  mampan,”katanya ketika merasmikan program itu.

 Menurutnya, dalam usaha mencapai matlamat tersebut , tentunya pelbagai program serta inisiatif telah dibangunkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk memperkemaskan sistem pertahanan siber negara.  

“Dengan penubuhan Cybersecurity Malaysia sebagai pusat pakar serta rujukan menegani isu berkaiatn keselamatan siber, pelbagai usaha berkaiatan aspek e-keselamatan nasional diperkenalkan selaian menyediakan perkhidamatan kepakaran berkaitan bidang keselamatan siber,”katanya.






Tag: