KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Ketua jabatan perlu peka terhadap perubahan tingkah laku dan prestasi kakitangan di bawah seliaan masing-masing yang mungkin menunjukkan tanda-tanda tekanan di tempat kerja.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesejahteraan dan kesihatan mental penjawat awam perlu diberi perhatian serius bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik.
Menurutnya, warga perkhidmatan awam perlu saling mengambil berat serta membantu rakan sekerja yang berdepan tekanan.
“Kita sebagai keluarga inilah yang memainkan peranan untuk sama-sama membantu. Kepimpinan dan anggota pentadbiran kena teliti dan lihat anak-anak buah.
“Kalau kita rasa seseorang itu lain daripada biasa atau kerja tidak seperti kebiasaannya, mungkin dia mengalami stres, tidak kira apa sebabnya. Cuba tangani dan mungkin buat pendekatan dengan unit-unit tertentu untuk menangani stres di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, setiap anggota mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sama penting dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.
“Tak kiralah apa kategori jawatan. Tak boleh Menteri Besar kata dia penting, tanpa dia kerja tidak jalan. Tidak boleh Exco kata demikian dan tidak boleh sesiapa juga menyatakan hal demikian.
“Kita kena anggap bahawa semua orang ada maruah, ada tugas yang mereka perlu laksanakan dan menyumbang kepada seluruh kejayaan yang kita capai, khususnya di Negeri Terengganu ini,” katanya.

Menurutnya, anugerah kepada 60 penjawat awam pada tahun ini merupakan penghargaan terhadap dedikasi, disiplin dan komitmen mereka dalam melaksanakan tugas.
“Kalau kita ada 5,000 atau 10,000 orang kakitangan takkanlah semua dapat cemerlang. Kena pilih.
“Siapa yang tidak dapat tahun ini, jangan kecil hati. Terus berusaha, insyaAllah sampai waktunya akan dapat juga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pentadbiran negeri adalah hasil sumbangan semua pihak, termasuk kakitangan yang menjalankan tugas di belakang tabir.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga perkhidmatan awam negeri supaya terus saling membantu dan bekerja sebagai sebuah keluarga dalam melaksanakan amanah demi kepentingan Terengganu.
