Keuntungan Selepas Cukai Terengganu Inc Dijangka Naik 200 Peratus

KUALA TERENGGANU, 13 Januari – Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat pelaburan strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dijangka naik melebihi 200 peratus bagi 2024 berbanding 2023.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan laporan kewangan terakhir untuk tahun 2024 yang masih belum diaudit, pendapatan dijangka meningkat kepada RM21.6 juta.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding RM18.7 juta pada tahun 2023.

“Manakala dari segi keuntungan selepas cukai (PAT), prestasi Terengganu Inc dijangka meningkat dengan begitu memberangsangkan.

“Iaitu kenaikan melebihi 200 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu berjumlah RM10.6 juta pada tahun 2024 dan RM3.3 juta pada tahun 2023," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran melalui akaun Facebook rasminya semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi tahun ini pula, Terengganu Inc menyasarkan jumlah hasil pendapatan mencecah sehingga RM2.27 bilion.

Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau menyeru seluruh kakitangan untuk terus bekerja keras sebagai satu pasukan

"Setiap individu mempunyai peranan penting dalam mencapai kejayaan organisasi.

“Kita berada dalam satu perjalanan yang mencabar tetapi tidak mustahil untuk dicapai atau dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau turut mengimbau perjalanan Terengganu Inc sejak kerajaan negeri mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mei 2018, sambil mengaitkan pencapaian organisasi itu dengan pepatah motivasi daripada filem-filem ikonik antarabangsa.


Tag: