KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa simpati terhadap bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 41, yang menderita gout kronik sehingga menjejaskan pergerakan dan sumber pendapatannya.
Razali berkata, beliau memahami kesukaran yang dihadapi Azlan selepas kehilangan pekerjaan dan berdepan dengan masalah kesihatan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ini.
"Saya berharap bantuan Aidilfitri dalam bentuk keperluan asas seperti bakul makanan serta sumbangan kewangan dapat meringankan beban keluarga Azlan,” katanya ketika program Ziarah Kasih di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, hari ini.
Azlan kehilangan pekerjaan pada 2019 selepas syarikat akhbar tempatnya bekerja ditutup.
Kini, pergerakannya semakin terbatas akibat kelemahan sendi kaki dan tangan, memaksanya bergantung kepada tongkat dan kerusi roda. Keadaan ini menyukarkannya untuk bekerja dan menampung kehidupan.
Menurut Azlan, dia terpaksa menolak tawaran kerja kerana ketidakpastian terhadap serangan penyakitnya.
“Bukan saya tak mahu bekerja, tetapi saya tidak tahu bila gout akan menyerang.
"Jika saya tidak dapat menyiapkan kerja, pelanggan pasti kecewa,” katanya.
Kini, dia bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Norhaspida Yatim, 39, yang bekerja sebagai wartawan untuk menyara keluarga dan menguruskan keperluan harian.
Pasangan itu mempunyai tiga anak, Muhammad Aqif Rayyan, 12, Awatif Nur Adawiyah, 11, dan Awfiyah Nur Umairah, 9.