Khairol Fiber : Berjaya Tembusi Pasaran Global

DUNGUN, 5 Januari - Khairol Fiber bukan jenama asing kepada peminat-peminat bot gentian kaca malah pengalamannya dalam dunia itu selama 26 tahun membolehkan syarikat itu menembusi pasaran global.

Pengarah Urusan Khairol Fiber Group Sdn. Bhd., Wan Ahmad Khairuddin Wan Mohd Yusof menjelaskan, beliau mula berkecimpung dalam pembuatan bot dengan menimba pengalaman selama 15 tahun di sebuah bengkel membuat bot di Dungun. 

"Setelah itu, pada 2010 saya memberanikan diri  membuka perniagaan sendiri dalam pembuatan bot bermodalkan sebanyak RM3,000 di belakang rumah dengan hanya menggunakan wang deposit yang dibayar pelanggan, masa itu saya dapat mencipta tiga buah bot nelayan," katanya. 

Khairol (berbaju biru) memberi penerangan kepada Alias (berkaca mata) di bengkel botnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang ke bengkel botnya di Kampung Bemban, Jalan Tok Kah di sini baru-baru ini.  

Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rantau Abang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bemban. 

Menurut Khairuddin, pada masa itu beliau hanya mengambil tempahan sahaja memandangkan belanja yang besar diperlukan bagi pembuatan bot siap untuk dijual.

Kini, katanya setelah 11 tahun menceburi bidang tersebut syarikatnya telah mengeluarkan beribu buah bot pelbagai jenis iaitu nelayan, pelancong dan rekreasi. 

"Misi kami menguasai 80 peratus industri pembuatan bot fiberglass di Malaysia menjelang 2030 insya-Allah. 

"Dalam perancangan kita juga membina kilang fiber di Kawasan Perindustrian Batu 7, tanah yang disewa hak milik kerajaan negeri.

"Dengan terbina kilang baharu ini, tidak secara langsung membuka lebih peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, boleh dikatakan hampir semua pekerja dari pengurusan dan pembuatan adalah penduduk sekitar sini," jelasnya. 

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan anak-anak muda yang berminat untuk mendapatkan latihan membuat bot selama enam bulan dengan diberi elaun bulanan. 
"Bekas pelatih boleh mohon bekerja di negeri masing-masing kerana saya mempunyai hubungan baik dengan semua ahli Persatuan Pembuat Bot Malaysia setelah tamat latihan," katanya yang percaya tidak ada kerja keras yang tidak membuahkan hasil.


Tag: