Khairunnisa' Terengganu Aktif Tangani Masalah Rakyat


KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak cergas untuk mengatasi masalah kehidupan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, persatuan tersebut dapat bertahan dalam situasi politik negara yang sentiasa berubah-ubah.

“Saya ucap tahniah kepada Khairunnisa' kerana telah berjaya bertahan dalam  situasi politik negara pada hari ini yang berubah-ubah, yang ditubuhkan semasa menjadi kerajaan (dahulu pada tahun 1999) kemudian tidak menjadi kerajaan pada tahun 2004 dan (kini) menjadi kerajaan semula.

“Walaupun (pemerintahan dahulu) tidak menjadi kerajaan, Khairunnisa' masih lagi bergiat cergas membantu para suami mereka yang merupakan Yang Berhormat (YB) ataupun mantan YB dalam menguruskan kerja-kerja masyarakat sama ada berkaitan politik ataupun kebajikan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 Khairunnisa' di pejabatnya di Batu Buruk semalam.

Menurutnya, walaupun selepas menjadi kerajaan semula, persatuan tersebut masih lagi bergiat aktif  dalam program yang berkaitan dengan kebajikan dan kemasyarakatan.

“Ini adalah antara peranan penting NGO dalam membantu kerajaan dan parti untuk menangani masalah kehidupan yang dihadapi oleh rakyat.

“Dengan kos hidup yang tinggi, masih ramai lagi rakyat kita yang tidak  ada pekerjaan terutama golongan berpendapatan rendah yang memang memerlukan bantuan kerajaan ataupun  NGO seperti Khairunnisa',” ujarnya.

Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak NGO yang mengambil cakna tentang rakyat Terenggau.

“Saya ucap tahniah banyak pihak mengambil cakna tentang rakyat negeri  Terengganu khususnya dalam soal ini yang merupakan antara elemen  penting kita hidup bermasyarakat,” katanya.


Tag: