• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Khalwat : Terengganu Terus Kuatkuasa Hukuman Jenayah Syariah

KUALA TERENGGANU, 18 April- Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menjatuhkan hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat yang merupakan kes pertama di Terengganu melibatkan pesalah khalwat perempuan mengikut pindaan undang-undang Kesalahan Jenayah Takzir Terengganu pindaan 2022.

Wanita berstatus janda itu didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan berkhalwat kali kedua di sebuah rumah di Kemaman pada Januari lalu.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 37 tahun dan pasangannya ditahan berkhalwat ketika serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sebuah rumah di Taman Geliga, Kemaman sekitar jam 3.15 petang pada 31 Januari lalu.

Hasil siasatan oleh pihak penguat kuasa mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri atau mahram.

Sebelum ini tertuduh pernah dihukum denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda setelah disabitkan melakukan kesalahan sama di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada 28 Januari 2018.

Sementara itu, pasangan lelaki yang turut ditahan bersama tertuduh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April depan bagi kesalahan kali pertama melibatkan khalwat.