KEMAMAN, 30 Januari – Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang menghimpunkan seramai lebih 200 peserta berlangsung dengan meriah di samping mengimbau tradisi turun-temurun masyarakat Melayu.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, berkata program tersebut bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara generasi serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
"Program seperti ini penting untuk memastikan generasi muda memahami dan menghargai amalan yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
"Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk," katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana DUN Kijal bertempat di Masjid Jamek Kijal pada hari ini.
Program yang bermula seawal jam 6.45 pagi itu menyaksikan kehadiran peserta dan ahli keluarga yang bersemangat untuk menyertai acara tersebut.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan selawat dan semburan air bomba serta kata-kata semangat kepada kanak-kanak yang menyertai khatan.
Razali berkata pelbagai gelagat peserta mencuit hati, ada yang berani, ada yang gementar, malah ada juga yang cuba lari.
"Program ini berakhir sekitar tengah hari dan diikuti dengan majlis jamuan rakyat dan tazkirah zuhur.
"Kejayaan penganjuran acara ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan budaya dan nilai kekeluargaan terus kukuh dalam kalangan generasi muda," ujarnya.