Khidmat Malaysia DUN Sura Bantu Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya

DUNGUN, 7 Disember – Seramai 100 sukarelawan Khidmat Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura telah turun padang untuk membantu membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir di Taman Rakyat Jaya, di sini semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tg Md Fauzi, aktiviti ini adalah tanda sokongan dan komitmen pihaknya dalam membantu mangsa banjir yang masih berdepan dengan pelbagai kesulitan selepas kejadian.

Katanya, kerja gotong-royong ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meringankan beban mangsa banjir yang masih terkesan dengan bencana tersebut.

“Kami berusaha untuk memastikan rumah-rumah yang terjejas dapat dibersihkan secepat mungkin agar penghuni dapat kembali menjalani kehidupan mereka dengan selesa. Kita menyediakan hampir 10 buah lori untuk mengangkut sampah serta barang yang rosak akibat banjir ini,” katanya.

Para sukarelawan terlibat dalam pelbagai tugas, termasuk membersihkan lumpur, membuang barang rosak, dan membersihkan peralatan rumah yang terendam air. 

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menambah, pihaknya bertekad untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa banjir, terutamanya dalam usaha pemulihan dan pembersihan pasca-banjir.

“Kami berharap dengan bantuan ini, kehidupan mereka dapat kembali normal dan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya sewaktu sedang bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut.

Dengan adanya kerja-kerja sukarela ini, diharap suasana Taman Rakyat Jaya dapat dipulihkan dengan segera, memberikan harapan baru kepada penduduk yang terkesan.

 


Tag: