Ahmad Fakhrurazi (dua dari kanan) menyampaikan 'Banjir Kit' kepada Che Adam (kiri) diperhatikan oleh Dr Ahmad Samsuri (tengah). |
Katanya, kerajaan negeri sangat mengalu-ngalukan penglibatan syarikat gergasi antarabangsa seperti Repsol Oil dan Gas Malaysia Berhad (Repsol) yang turut sama membantu golongan karyawan dalam konteks negeri Terengganu.
"Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan golongan karyawan termasuk wartawan, pegawai media, jurugambar dan sebagainya di samping syarikat antarabangsa berkenaan boleh memberi sumbangan dalam pembangunan dan kebajikan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas selesai Repsol Media Night 2018 di Hotel Permai di sini semalam.
Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Perhubungan Pemegang Saham Repsol, Ahmad Fakhrurazi Arshad.
Repsol adalah sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang beribu pejabat di Sepanyol dan operasinya berteraskan kepada sumber asli, petroleum dan gas.
Seterusnya, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, Repsol adalah satu contoh syarikat antarabangsa yang terbaik yang berkolaborasi bagi memajukan industri media di Terengganu.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri nenyeru kepada syarikat-syarikat lain di luar sana untuk turut mengambil langkah yang sama sebagaimana yang dibuat oleh Repsol," tambahnya.
Wakil-wakil media bergambar bersama MB (tengah) di Majlis Repsol Media Night 2018 semalam. |
Katanya, mungkin dari segi kepentingannya susah untuk melihat kejayaan kerjasama itu dalam waktu yang singkat tetapi usaha tersebut boleh membantu masyarakat negeri Terengganu dalam jangka masa panjang.
Kerajaan negeri katanya, sangat terbuka dengan mana-mana organisasi atau syarikat yang sudi menyumbang dalam bentuk penajaan dan program bersama.
"Sebab itulah kerajaan negeri Terengganu wujudkan satu portfolio yang khusus mengenai NGO. Ianya kerana kerajaan menyedari kepentingan NGO (memajukan negeri) dan sudah tentu syarikat-syarikat swasta berupaya berbuat demikian untuk membangun negeri Terengganu secara khusus," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ahmad Fakhrurazi berkata, Repsol amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan golongan karyawan negeri Terengganu.
"Ini adalah kali pertama kami dapat bekerjasama dengan mereka dan kami berharap dapat meneruskan lagi kerjasama ini di tahun-tahun yang berikutnya," jelas beliau.
Repsol katanya, berhasrat untuk membabitkan diri dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility-CSR) kerana beliau difahamkan banyak aktiviti CSR akan dilaksanakan karyawan negeri ini.
"Kami ingin turut serta dalam program CSR dan sebagai syarikat gergasi antrabangsa memang Repsol adalah nama baru di Malaysia dan kami berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan kami di Malaysia," jelas beliau.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Presiden Kelab Karyawan Kreatif, Nik Mohd Zahid Nik Salim, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan wakil-wakil media dari seluruh negeri Terengganu.
Pelbagai acara menarik diadakan dalam majlis tersebut yang bertemakan pakaian tahun 60-an termasuk penyampaian hadiah jasamu dikenang, hadiah istimewa menepati tema majlis dan cabutan bertuah.
Ahmad Fakhrurazi turut menyerahkan 'Banjir kit' kepada Che Adam di majlis yang sama diperhatikan oleh Dr Ahmad Samsuri.