lightning-solid
Berita :
Kompleks Terbiar Dihidupkan Semula Sebagai Kampus Baharu KQT
Kompleks Terbiar Dihidupkan Semula Sebagai Kampus Baharu KQT
Amiirullah Mansor
1 jam yang lepas
42

HULU TERENGGANU, 10 Disember – Kerja-kerja baik pulih Kompleks Kakitangan Kastam di Gawi, Kenyir kini giat dijalankan bagi dijadikan penempatan baharu untuk Kolej al-Quran Terengganu (KQT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata bangunan tersebut dijangka siap pada April tahun 2026 iaitu sebelum kemasukan pelajar pada Jun 2026. 

“Hari ini kita meninjau kerja-kerja baik pulih Kompleks Kakitangan Kastam di Gawi, Hulu Terengganu yang akan dijadikan cawangan baharu bagi Kolej Quran Terengganu (KQT).

"Usaha ini merupakan salah satu langkah bagi memenuhi syarat penempatan baharu," katanya. 

595043153_1398892378266078_4361265263108731609_n.jpg 204.79 KB
Beliau berkata demikian ketika membuat sidang media sejurus tinjauan tapak di Kompleks Kakitangan Kastam Gawi baru-baru ini.

Menurutnya, kampus KQT di Padang Midin ketika ini berdepan kekangan penempatan pelajar, infrastruktur dan menjadikan cawangan baharu ini sebagai ‘feeder’ kepada pembangunan kolej yang bakal dibangunkan selepas ini. 

“Seperti yang kita maklum, kampus KQT di Padang Midin kini berdepan kekangan penempatan pelajar serta infrastruktur.

“Cawangan baharu ini juga akan menjadi ‘feeder’ kepada pembangunan kolej yang akan dibangunkan kemudian,” ujarnya lagi.  

Tambah beliau, syarat menaik taraf KQT kepada universiti turut memerlukan pemenuhan aspek pembangunan akademik serta infrastruktur seperti yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

“Bagi memenuhi syarat menaik taraf KQT sebagai sebuah universiti, terdapat beberapa keperluan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), merangkumi aspek pembangunan akademik dan infrastruktur.

“Kita sedang berusaha sehabis baik untuk memenuhi semua syarat tersebut demi membawa KQT ke tahap kolej universiti pada masa akan datang,” ujarnya.  

597847987_1398892634932719_7992776550519554473_n.jpg 237.33 KB
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja baik pulih telah bermula dan kerajaan negeri menyasarkan penempatan pelajar boleh dimulakan pada Jun depan, menjadikan KQT beroperasi di dua lokasi. 

“Kerja-kerja baik pulih telah bermula, dan insyaAllah kita berhasrat untuk memulakan penempatan pelajar pada Jun tahun depan. Dengan ini, KQT akan beroperasi di dua lokasi di Padang Midin dan di Kompleks Kastam Gawi,” jelasnya lagi.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha tersebut. 

“Terima kasih kepada pihak JKR, kontraktor, UPEN serta seluruh warga KQT yang bersungguh-sungguh merealisasikan hasrat kerajaan ini,” katanya. 

595688969_1398893038266012_3404727238191754164_n.jpg 188.39 KB
Kompleks Kakitangan Kastam Gawi itu pada asalnya dibina sebagai penempatan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi operasi di kawasan Tasik Kenyir.

Namun, bangunan tersebut tidak pernah diduduki sepenuhnya dan akhirnya terbiar selama lebih satu dekad tanpa penggunaan rasmi.
 
Keadaan tersebut menyebabkan banyak kerosakan asas seperti siling, paip air, sistem elektrik dan beberapa blok penginapan memerlukan pembaikan menyeluruh sebelum boleh dioperasikan semula.
 
Dengan inisiatif kerajaan negeri menjadikannya cawangan baharu KQT, bangunan yang sekian lama tidak dimanfaatkan itu kini diberi nafas baharu sebagai pusat pendidikan agama yang bakal menampung ratusan pelajar.

595246030_1398893201599329_822473305062851100_n.jpg 391.81 KB


Tag :

Artikel Berkaitan