KUALA NERUS, 23 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempelbagaikan program melibatkan masyarakat bukan Melayu Islam bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti ziarah komuniti Tionghua di Kampung Pulai Baharu, Tepoh bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum.

Katanya, program agihan limau Mandarin yang dijalankan petang semalam itu menjadi simbolik hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan masyarakat pelbagai kaum.

“Program agihan limau Mandarin ini adalah usaha tahunan pihak Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian budaya di Terengganu.

"Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, adalah sebahagian daripada keluarga besar negeri ini. Agenda perpaduan dan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar Hishamuddin selepas program itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulai Baharu, Lai Liang Qing bersama pimpinan setempat lain.

Tahun ini, sebanyak 250 kotak limau Mandarin telah diagihkan kepada komuniti Tionghua di kawasan DUN Tepoh, termasuk JPKK Pulai Baharu, JPKK Taman Perumahan Wakaf Tembesu, JPKK Padang Air, JPKK Padang Nenas, JPKK Gong Badak 4, dan JPKK Jeram Hulu.  

Hishamuddin sendiri hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pulai Baharu, manakala agihan di kawasan lain diselaraskan melalui Pengerusi JPKK masing-masing sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut ADUN Tepoh itu lagi, sumbangan tersebut diharap dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, 'Uncle Ho', salah seorang penerima bantuan, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Tionghua di kampung tersebut.

“Kami rasa dihargai dan disayangi. Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak pernah mengabaikan komuniti kami,” katanya.

Selain itu, Hishamuddin turut memaklumkan beberapa program lain yang dirancang selepas perayaan ini untuk terus mengeratkan hubungan dengan komuniti Tionghua.

"Antaranya ialah Jamuan Makan Malam di Dewan Kampung Pulai Baharu, yang dianjurkan bersama oleh JPKK Kampung Pulai Baharu dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh.

“Pendekatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam memastikan tiada kaum yang merasa terpinggir. Terengganu adalah negeri yang majmuk dan aman, dan kita akan terus berusaha mengekalkan keharmonian ini demi generasi akan datang,” tambah beliau.

Usaha ini menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua rakyatnya, tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.

 


Tag: