KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Kerajaan negeri menghargai usaha Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu yang menganjurkan 'Program Sesuap Kasih' sebagai platform membantu golongan asnaf fakir dan miskin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia adalah satu inisiatif yang sangat murni bagi mendekati golongan yang kurang berkemampuan. Malah ia sangat dianjurkan dalam Islam.
Beliau berkata, ia bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu semua pihak mengambil tanggungjawab dan peluang untuk membuat kebajikan bagi membantu rakyat.
Beliau berkata, ia bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu semua pihak mengambil tanggungjawab dan peluang untuk membuat kebajikan bagi membantu rakyat.
“Kami nak bawa satu konsep dalam sebuah masyarakat yang berkat iaitu tanggungjawab untuk membantu golongan yang lemah dan miskin bukan sahaja tanggungjawab kepada kerajaan.
“Tapi ia juga menjadi tanggungjawab sosial kepada orang yang senang dan berpendapatan tinggi serta kaya (yang) sepatutnya mereka juga ambil saham untuk menunaikan tanggungjawab sosial bagi memberi dan membantu golongan yang susah,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Program Sesuap Kasih di parkir orang awam, di hadapan Kompleks Seri Iman Jalan Sultan Muhamad, di sini, hari ini.
Mohd Nor berkata, program tersebut akan menanam perasaan rasa sayang kepada golongan yang kurang berkemampuan dengan mengambil cakna kebajikan mereka.
“Kita nak tanam dalam jiwa masyarakat kita (agar) ada rasa sayang kepada golongan miskin supaya jangan berfikir ini (ia) tanggungjawab kerajaan (sahaja)..Jabatan Kebajikan Masyarakat... ini tanggungjawab Tabung Darul Iman (tetapi ia juga adalah) tanggungjawab masyarakat khususnya mereka (orang berkemampuan).
“Dan hari ini kita berikan satu 'platform' untuk memudahkan mereka salurkan makanan dan bantuan serta duit ke Pejabat Agama atau mana-mana institusi yang nak membuat program seumpama ini. Kita galakkan dan memudahkan (lagi) kerja mereka,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menegaskan, ia merupakan satu konsep yang penuh keberkatan, dilaksanakan dalam sebuah masyarakat dengan memberi sumbangan kepada golongan yang lemah.