KUALA NERUS, 25 Jun - Tindakan beberapa pihak yang mahu membenarkan konsert di dalam institusi pengajian dilihat usaha terdesak menarik undi anak muda yang boleh mencetuskan kebimbangan.
Penulis dan Pendakwah, Dr Riduan Mohd Nor berkata, langkah itu dikhuatiri mengakibatkan gedung ilmu-ilmu tidak akan lagi dihormati bahkan akan mengundang pelbagai idealisme yang boleh merosakkan pemikiran anak muda kerana tidak selari dengan syariat Islam
"Kampus merupakan ruang intelektual, tempat perbincangan ilmua dan juga merupakan tempat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa hadapan.
"Bukannya dengan menyediakan pentas untuk menari, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan, ke arah mana kita hendak bawa (bimbing) anak-anak muda ini?," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Turut berperanan sebagai ahli panel Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Tambah Dr Riduan, anak muda hari ini terutamanya golongan terpelajar diberi didikan agar menyedari peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan di masa akan datang.
"Kamulah yang akan memimpin masa depan ummah, menjuarai isu-isu rakyat dan berjuang untuk mengangkat agama (Islam) ini.
"Maka, bekalkan diri dengan ilmu dengan menghidupkan budaya membaca dan ketagih dengan ilmu serta libatkan diri dengan gerakan mahasiswa,"katanya.
Dalam pada itu beliau turut memberi peringatan kepada kepimpinan hari ini agar bertanggungjawab mengikut apa yang telah dipraktikkan oleh Rasullah bagi membina anak muda dan remaja.
"Kata almarhum Maulana Al-Maududi kalau hendak tengok Islam di masa hadapan tengok anak muda hari ini dan anak muda mengikut akhlak pemimpin," ujarnya.