• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Kontrak Pengusaha Kantin Akibatkan Keracunan Makanan Tidak Disambung

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Kontrak pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus yang terpalit dengan isu keracunan makanan melibatkan sekumpulan pelajar baru-baru ini tidak akan disambung.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengusaha kantin terbabit hanya dibenarkan beroperasi sehingga kontraknya berakhir November ini.

Katanya, pengusaha tersebut ada mengemukakan permohonan untuk menyambung kontrak selama setahun lagi.

“Tetapi apabila diambil kira dari segi perkhidmatan beliau, dalam keadaan yang tidak mengizinkan ini bermakna perkhidmatan tersebut akan tamat hujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, semalam.

Mengulas lanjut katanya, walaupun isu keracunan makanan membabitkan pelajar dikendalikan unit asrama penuh tetapi siasatan dilakukan mendapati berlaku kecuaian pengusaha kantin sehingga menyebabkan kes keracunan makanan.

"Apa pun semua sudah balik ke sekolah semula dan telah selesai. Kita juga menunggu hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengesahkan keracunan makanan tersebut.

"Kita juga akan hantar surat kepada sekolah-sekolah agar sentiasa bersiap-sedia dalam hal ini dan memberi perhatian yang teliti kepada pengusaha kantin supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya.