• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Platform Ketengah Idea Dan Ciptaan

Kumpulan Pelita dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu mempersembahkan produk yang dihasilkan pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra
Kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Sumber Manusia) mengadakan Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri sebagai pemangkin kepada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini untuk mengetengahkan idea dan ciptaan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.

Konvensyen selama dua hari bermula semalam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman itu turut mengetengahkan idea yang mencakupi pelbagai bidang dan perkhidmatan yang terbukti memberikan pembaharuan dari segi kos, meningkatkan kecekapan, menentukan ketepatan dan menjamin keselesaan pelanggan.


Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata, pendekatan inovasi yang dilaksanakan menuntut penjawat awam supaya lebih berfikiran terbuka, dinamik dan sentiasa bersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi melakukan sebarang pembaharuan.

“Semoga konvensyen ini terus menjadi pencetus semangat dan idea inovasi bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan khususnya dalam kalangan penjawat awam negeri ini,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.


Menurut Zainal, konvensyen tersebut disertai 23 kumpulan terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang membentangkan produk serta hasil projek dijalankan.

“Menerusinya, setiap warga kerja diharap dapat mening­katkan budaya kecemerlangan dalam organisasi masing-masing menerusi penglibatan yang aktif,” ujarnya.

Juara Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri kali ini bakal menerima Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000.

Majlis perasmian penutup konvensyen tersebut bakal disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, malam ini.

Tag: