Koperasi Pembangunan Daerah Setiu menjadi Koperasi Pembangunan Daerah kedua terbaik di Malaysia pada tahun lalu.
Pengerusinya, Dr. Ibrahim Husin berkata, ahli koperasi seharusnya berbangga dengan kejayaan berada di tangga kedua negara selepas Langkawi.
"Ini adalah satu pencapaian yang baik bagi kami dan koperasi ini juga tersenarai di dalam 100 koperasi terbaik Malaysia," katanya pada Mesyuarat Agong Koperasi koperasi itu kali ke 35, di Bandar Permaisuri, semalam.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, koperasi itu akan membina sebanyak 20 unit rumah jenis banglo mampu milik di Kampung Saujana, Setiu pada tahun ini.
Dr Ibrahim Husin berkata, rumah itu akan dibina secara usahasama dengan sebuah syarikat hartanah.
"Rumah ini hanya ada 20 buah sahaja dan mana-mana ahli yang berminat bolehlah mohon sebab harga asal lebih daripada RM300,000 tetapi untuk ahli, harga kurang daripada itu akan ditawarkan," katanya.
Menurutnya, pihaknya merancang pelbagai projek dan aktiviti tahun ini termasuk membina sebuah stesen minyak baharu di daerah itu.
Katanya, aktiviti lain tetap akan diteruskan seperti operasi stesen minyak sedia ada, sewa bangunan dan sebagainya.
"Walaupun kita (koperasi) tidaklah bergerak laju seperti roket tetapi tetap bergerak mengikut landasan yang betul," katanya pada Mesyuarat Agung Koperasi kali ke- 35, di sini, semalam.
Mesyuarat dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad.
Ibrahim berkata, tahun lepas koperasi membeli sebidang tanah berkeluasan dua ekar yang berpotensi dijadikan tapak perumahan di Bandar Permaisuri.
"Ini sebagai langkah menambah aset koperasi untuk masa depan," katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua Koperasi, Rosdi Awang dan Pengarah Urusan Vista Infinity Development Sdn Bhd, Mohd Afif Mohd Ghani.