• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Koperasi Terengganu Catat Peningkatan Perolehan

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Koperasi Terengganu mencatatkan peningkatan yang ketara dari segi  jumlah koperasi dan perolehan di negeri ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad, menyatakan bahawa bilangan koperasi di negeri ini telah meningkat daripada 828 kepada 839 buah pada 31 Disember 2023.

“Pencapaian koperasi negeri Terengganu menunjukkan peningkatan yang positif.

“Perolehan di peringkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Terengganu juga menunjukkan peningkatan dan pada 31 Disember 2023, jumlah perolehan hampir mencecah RM700 juta.

"Dalam masa yang sama apabila kita lihat data pada tahun 2024 setakat bulan Jun kita memperolehi RM380 juta, penambahan RM30 juta berdasarkan data Jun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPKN) peringkat Negeri Terengganu siri kali pertama di Menara Majis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Darul Iman, Kuala Terengganu, pada kelmarin.

Menurutnya, pada tahun 2023 sebanyak enam buah koperasi negeri Terengganu telah disenaraikan dalam 100 koperasi terbaik Malaysia.

“Banyak koperasi contoh yang terbaik dan ada koperasi memang luar bandar contoh Koperasi 3K Berhad, Koperasi Peserta-peserta Felcra Seri Bandi Kemaman Berhad, dua koperasi ini berada di luar bandar.

“Insya-Allah, dengan 828 buah koperasi yang ada di negeri Terengganu, impak diberikan kepada masyarakat kita di peringkat negeri adalah signifikan. 

“Bantuan yang telah disalurkan kepada koperasi negeri Terengganu hampir mencapai RM0.5 juta.

"Begitu juga, pinjaman yang telah diluluskan kepada seluruh koperasi negeri Terengganu pada tahun 2024 juga hampir mencecah RM3,000,000,” ujar beliau.

Sebagai contoh katanya lagi, KOGURU telah memberi pinjaman sebanyak RM50,000 kepada anggotanya dan menyediakan tanah lot untuk keluarga yang memerlukan.

"Dengan pinjaman tambahan untuk membina rumah, koperasi ini telah membantu keluarga tersebut mendapatkan tempat tinggal yang selesa.

“Di peringkat kita, apabila beroperasi sebagai koperasi, kita boleh merancang aktiviti yang akan dilaksanakan.

"Pada masa yang sama, kita berusaha untuk mensejahterakan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar.

"Banyak aktiviti yang telah kita laksanakan, seperti jualan Madani dan jualan murah untuk rakyat di luar bandar,” tambah beliau lagi.


Tag: