Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Krisis air dihadapi dua daerah sejak isnin lalu sewajarnya tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebaliknya semua perlu memainkan peranan dalam membantu masyarakat terkesan, jelas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Menurutnya, punca masalah paip pecah tersebut sedang disiasat oleh agensi bertauliah seperti Syarikat Air Terengganu (SATU) dan spekulasi tentangnya hanya menimbulkan polemik tertentu dalam keadaan rakyat yang terjejas.
“Seperti kita sedia maklum, paip rosak di Sungai Terengganu ini sudah lama dimakan usia dan mengalami perubahan alam sekitar di dasarnya.
“Kerajaan sedar dan sedang menangani isu ini serta mengerakkan pelbagai inisiatif dalam memastikan bekalan asas tidak terputus.
“Kita juga tidak menyalahkan mana-mana pihak terdahulu kerana ini adalah bencana tidak disangka,” katanya selepas mengagihkan sebanyak 1,000 kotak air bersih dalam Misi Bantuan Air DUN Buluh Gading, di Dewan Sivik Buluh Gading, petang tadi.
Tambahnya lagi, usaha tersebut adalah sambungan daripada semua pihak termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian dalam menumpukan usaha bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Mohd Nor turut berkongsi perancangan mengerakkan agensi kerajaan seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) terutamanya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam bekerjasama dengan jawatankuasa masjid.
“Ini adalah bagi mengagihkan bekalan asas air kepada rumah-rumah berdekatan masjid di DUN-DUN terjejas.
“Kerajaan juga sedang dalam perbincangan dalam menyelaraskan inisiatif penyaluran air bersih ke rumah-rumah terkesan,” katanya lagi.
Terbaharu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai.