KT Bypass Bakal Beroperasi Menjelang Aidilfitri Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Kuala Terengganu (KT) Bypass dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh hampir enam kilometer dijangka beroperasi menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof, berkata kemajuan projek yang bermula pada tahun 2016 kini telah mencapai 92 peratus iaitu awal 18 hari dari tarikh yang ditetapkan.

Katanya, projek KT Bypass dengan kos RM220 juta sebenarnya dijadualkan siap sepenuhnya pada September tahun ini tetapi dijangka siap lima bulan awal.

"Selepas mendengar taklimat dan pihak kontraktor memberi komitmen untuk siapkan lebih awal iaitu pada April.

"Jadi saya harap kemajuan kerja projek ini tidak ada masalah dan dapat dibuka kepada orang ramai menjelang raya tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat tinjauan ke Tapak Projek Seliaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di Pejabat Tapak Projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas, di sini hari ini.

Menurut Fadillah, jalan pintasan tersebut dapat memberi manfaat kepada 70,000 orang penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar.

Tambah beliau, selain mengurangkan kesesakan trafik, pengguna juga dapat menjimatkan jarak dan masa perjalanan.

"Projek untuk mengalirkan keluar kenderaan daripada memasuki Bandaraya Kuala Terengganu. 

"Ini akan mengurangkan kesesakan didalam pusat bandar dan pada masa yang sama dapat mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya dengan penjimatan masa sebanyak 30 minit," ujarnya lagi.

Antara skop projek ini adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir di Kampung Durian Burung dengan piawaian reka bentuk Jabatan Kerja Raya (JKR) U5. 

Turut dibina adalah lima buah jejambat serta melibatkan skop naik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.

Selain itu, skop kerja lain adalah penyediaan sistem perparitan dan pembentungan yang sistematik, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pemasangan kelengkapan jalan, pengalihan utiliti dan pembinaan dua buah 'vehicular box culvert' (VBC).

Sementara itu, satu lagi projek berskala besar menaiktaraf jalan raya akan dibuat di Kampung Kemat menghala ke Kuala Poh, di Hulu Terengganu, membabitkan kos RM27 juta, bermula Mac depan.