Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Kuala Berang Ecofest 2.0 Promosi Tarikan Sungai Kodok
Kuala Berang Ecofest 2.0 berjaya menggamit kehadiran lebih 2,000 pengunjung yang menyertai pelbagai aktiviti sekali gus mempromosikan Sungai Kodok, Kampung Langgar sebagai destinasi tumpuan pengunjung terbaharu di Hulu Terengganu khasnya dan Terengganu, amnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, penganjuran kali kedua ini adalah kesinambungan kejayaan Kuala Berang Ecofest yang dianjurkan kali pertama pada 2014 di Kampung Telaga, melibatkan penyertaan 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Kuala Berang.
Jelasnya lagi, lokasi itu dipilih berikutan Sungai Kodok, Kampung Langgar dan kawasan sekitarnya sangat menarik dan mampu menjadi produk eko pelancongan terbaharu di Hulu Terengganu.
"Kawasan tersebut terletak di perkampungan tradisional Melayu dengan keistimewaan alam semula jadi dan landskap menarik. Ada kebun duku, sungai, kebun jagung dan sawah yang mempunyai tarikan tersendiri.
"Ecofest kali ini lebih tertumpu kepada Orang Kuala Berang(OKB) dengan 25 acara menarik seperti panjat tiang licin,tangkap itik dan acara tradisional lain pukul bantal yang mampu menggamit kenangan dan pengalaman baru kepada generasi muda,"katanya ketika merasmikan program tersebut di Sungai Kodok,Kampung Langgar, baru-baru ini.
Tambahnya, program ini juga sebagai gimik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang dengan gandingan antara pasukan dalam PDM dengan DUN Kuala Berang yang lebih tersusun dan bersatu padu.
"Melalui penyertaan mereka (PDM) dalam program Ecofest kali ini, kita nak lihat bagaimana mereka hendak melaksanakan peranan mencari 9,000 pengundi dengan jentera hampir 5,000 orang yang ada sekarang,"kata Tengku Putera.