Kuala Nerus Bawa Pulang Hadiah Utama Peliter @ KSNT 2025

KUALA NERUS, 17 Mac - Tirai Pelita Raya 2025 (PELITER @ KSNT) ditutup meriah dengan kejayaan pihak Pejabat Daerah Kuala Nerus merangkul hadiah utama bagi kategori penyertaan pejabat daerah dalam acara tahunan yang telah bermula sejak 13 Mac yang lalu itu.

Bergelar juara, mereka membawa pulang hadiah bernilai RM6,000 berserta plak penghargaan.

Manakala, naib johan bagi kategori yang sama pula diduduki oleh mantan johan Peliter @ KBT 2023, pihak Pejabat Daerah Kemaman dan diikuti oleh mantan johan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 dan Peliter @ TTI 2024, Pejabat Daerah Kuala Terengganu di tempat tempat ketiga.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr .Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi adat bagi setiap pertandingan, ada bergelar pemenang dan ada yang tewas.

"Tetapi, pada saya semua pihak yang telah menyertai program ini, termasuklah mereka yang memasang pelita, yang hadir dan termasuklah para peniaga, mereka semua adalah pemenang.

"Kerana merekalah yang menjayakan majlis ini sehingga menjadi suatu saat yang bersejarah. Melalui merekalah lebih 170,000 orang pengunjung telah datang ke tapak program dalam beberapa hari ini."

Demikian ucapan beliau ketika merasmikan majlis penutup bagi program PELITER@KSNT yang bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Dr Samsuri turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak terlibat bagi menjayakan acara istimewa Calender of Event (COE) tahun 2025 itu.

"Tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Razali Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan dan seluruh pihak yang berusaha untuk menjayakan majlis kita pada hari ini," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu; Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu; Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Sebagai rekod, sebanyak RM36,200 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi empat kategori pertandingan yang telah dipertandingkan untuk acara yang dijalankan pada bulan Ramadan itu. 


Antara kategorinya adalah kategori pejabat daerah, kategori agensi dan badan kerajaan, kategori media sosial (Facebook) serta kategori media sosial (TikTok)

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan Anugerah Khas Pencetus Pelita Raya Terengganu kepada Muhammad Ramli Nuh bagi menghargai jasa dan keringat beliau yang telah merealisasikan acara tahunan itu.