Kuala Nerus Ungguli SUTERA 2021

KUALA NERUS, 29 Mei - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2021 yang berakhir semalam menyaksikan tuan rumah, Kuala Nerus meraih juara keseluruhan dengan pungutan 26 emas, 10 perak dan 16 gangsa.

Mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan beserta wang tunai RM75,000.

Manakala naib johan pula dimenangi oleh Kontinjen Kuala Terengganu dengan pungutan pingat 20 emas, 9 perak dan 19 gangsa serta membawa pulang piala iringan beserta hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Sementara itu, Marang pula terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dengan hanya meraih kutipan pingat 13 emas, 16 perak dan 14 gangsa serta membawa pulang piala iringan dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Anugerah olahragawan Sutera 2021 pada kali ini telah dinobatkan kepada Mohd Zulhafizi Ariffin dari kontinjen Kuala Terengganu yang telah berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Tenpin Bowling bagi acara ' single, double, trio dan team'.

Manakala bagi olahragawati pula telah dianugerahkan kepada Nurul Huwaida Mohd Hamka dari kontinjen Daerah Kuala Nerus yang telah tampil cemerlang dalam sukan olahraga dengan memenangi dua pingat emas dan dua pingat gangsa bagi acara 100 Meter (M), 200 M, 4 x 100 M dan 4 X 400 M.

Masing-masing membawa pulang piala iringan dan hadiah tunai sebanyak RM1,000 seorang.

Majlis penutup temasya SUTERA Kuala Nerus 2021 itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

SUTERA 2021 itu telah ditutup secara rasmi semalam dengan ucapara menurukan bendera serta penyerahan bendera kejohanan dan buku manual pengelolaan temasya sukan terbabit kepada Majlis Sukan Daerah Dungun yang bakal menjadi tuan rumah bagi tahun hadapan.