Kuasa Pemerintahan Penting untuk Luaskan Dakwah Islam

KUALA TERENGGANU, 8 April – Kuasa pemerintahan sangat penting untuk menyebarkan dakwah Islam dengan lebih meluas dan berkesan, kata Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata, dakwah bukan hanya melalui ceramah atau tulisan, tetapi yang paling berkesan ialah dakwah melalui contoh yang baik seperti akhlak, cara hidup dan tindakan kita seharian.

“Bila kita ada kuasa, kita boleh buat program-program Islam di semua peringkat seperti di masjid, surau, sekolah dan kampung."Ini yang Nabi SAW buat bila baginda berhijrah ke Madinah. Nak dapat kuasa supaya dakwah Islam dapat dijalankan dengan lebih meluas dan teratur,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Majlis Sambutan Raya Aidilfitri Bersama Sheikh Dr. Labeb Najib Abdullah Al Yamany.

Dr Khalil berkata walaupun kuasa yang ada hari ini melalui pilihan raya bukan kuasa penuh, tetapi ia tetap memberi ruang untuk laksanakan sebahagian besar agenda Islam di Terengganu.

“Yang penting, kita guna kuasa yang ada sebaik mungkin. 

"Kita buat sekadar yang termampu, dan insya-Allah kita akan terus usaha tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya lagi.


Tag: