Kumpulan Penggiat Wau Harap Kerajaan Bantu
Kumpulan Penggiat Wau berharap kerajaan dapat membantu mempopularkan kembali permainan tradisi itu di seluruh negeri Terengganu. |
Aktivis kumpulan itu, Amidi Mohamad berkata, ianya bertujuan bagi mengekalkan kegiatan rekreasi itu sebagai aktiviti santai utama rakyat.
“Supaya orang Terengganu bersatu balik, sebab kita lahirkan ramai pemain wau di Terengganu.
“Ramai orang main di luar wakilkan Kelantan, wakilkan Malaysia dan banyak pecahan. Kita buat untuk memanggil pemain-pemain kita bersatu balik sebab itu kita anjurkan pertandingan ini. Kita nak ada peningkatan dari segi wakil ke luar Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dataran Batu Buruk pada Sabtu, 29 September.
Menurut beliau, pertandingan moden ini tidak sama dan berbeza dengan persaingan wau jala budi.
Katanya, ramai anak muda yang melibatkan diri dalam permainan wau di negeri ini.
“Tempat khusus (pengeluaran wau) tidak ada tetapi kami pergi rumah ke rumah (industri kampung).
“Sekiranya ada budak yang minat (boleh) terus masuk (latihan),” jelasnya.
Oleh itu, beliau sangat berharap sekiranya kerajaan negeri dapat menganjurkan satu program untuk anak-anak muda yang berminat bagi menghasilkan wau.
Walaupun kumpulan penggiat wau ini masih baru, namun mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak di peringkat daerah atau negeri bagi meningkatkan minat generasi muda terhadap permainan tradisi tersebut.