KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Kursus pengenalan Artificial Intelligence (AI) anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Dewan Perdagangan Islam Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan ibu tunggal di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program berkenaan yang dianggap selari dengan keperluan semasa.
“Program ini menunjukkan komitmen penganjur dalam memperkasakan golongan ibu tunggal agar terus maju dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia moden,” katanya.Menurut beliau, pendedahan terhadap teknologi kecerdasan buatan atau AI amat penting dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Beliau berkata, AI kini bukan lagi sesuatu yang asing kerana telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian melalui telefon pintar, media sosial, pemasaran digital dan sistem pengurusan organisasi.
“Melalui kursus ini, para peserta akan didedahkan kepada pelbagai alat dan platform AI yang dapat membantu dalam bidang pemasaran digital, pengurusan pelanggan serta strategi perniagaan,” jelasnya.
Dalam ucapannya lagi, beliau menyatakan keyakinan bahawa ibu tunggal mempunyai kekuatan dan ketabahan luar biasa dalam menghadapi cabaran hidup.
Katanya, pendedahan terhadap teknologi baharu akan menjadikan mereka bukan sahaja celik digital, malah mampu menjadi pemimpin berilmu dan inovatif dalam komuniti masing-masing.
Zuraida turut menyeru agar semua peserta berani mencuba teknologi baharu tanpa rasa takut.
“Kadang-kadang satu ilmu kecil boleh membuka jalan besar kepada perubahan hidup seseorang,” katanya.Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa komited memperkasa wanita dan ibu tunggal melalui pelbagai inisiatif pembangunan insan dan kemahiran digital.
Program seperti ini jelasnya, adalah sebahagian daripada usaha melahirkan masyarakat berdaya saing, celik teknologi dan berfikiran maju.