Kutipan Tabung Rohingya Dijangka Melebihi Sasaran RM1 Juta


Kutipan amal tabung kemanusian `Terengganu For Rohingya 'Sekampit Beras Untuk Rohingya' dijangka mampu melebihi sasaran awal RM1 juta berdasarkan sambutan luar biasa orang ramai sejak dillancarkan pada 19 September lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tabung itu kini sudahpun mengumpul lebih RM600,000 dalam tempoh kurang dua minggu.

Katanya, sasaran awal tabung berkenaan RM1 juta sehingga hujung bulan ini namun berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima daripada penyumbang, pihaknya tidak menolak jumlah kutipan akan melebihi jumlah berkenaan.

"Program ini mendapat sambutan luar biasa dan kreativiti sekretariat ini yang telah mengajak keseluruhan rakyat Terengganu baik yang berada di Terengganu mahupun di luar.

"Saya yakin dan percaya dengan kesungguhan serta kreativiti yang telah dilaksanakan oleh sekretariat ini sudah pasti kita dapat mencapai sasaran lebih dari itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Tabung Terengganu For Rohingya 'Sekampit Beras Untuk Rohingya' Peringkat Perantau Lembah Kelang, di Perkarangan Wisma Yayasan Terengganu, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat, Ketua Urusetia Tabung Terengganu For Rohingya Samiun Salleh dan Pemangku Presiden Persatuan Anak Terengganu (Pesat), Mohd Sham Aziz Ismail.

Tambah Ahmad Razif, kempen yang dijalankan tersebut akan diperluaskan ke tempat-tempat lain memandangkan sambutan yang memberangsangkan itu.


Katanya, beliau amat yakin kerajaan negeri mampu menambah kutipan memandangkan masih lagi banyak masa dibuka untuk penyumbang, iaitu sehingga akhir bulan Oktober ini.

"Kutipan ini tidak termasuk lagi kepada korporat-korporat, GLC serta usahawan-usahawan yang akan menyampaikan sumbangan dijangkakan pada akhir bulan Oktober nanti,"katanya.

Tag: