KUALA TERENGGANU, 16 November – TDM Berhad menerusi anak syarikat agromakanan, TDM Agrobiz Sdn. Bhd. (TDM Agrobiz) melakar satu pencapaian membanggakan apabila ladang cilinya di Terengganu menjadi yang pertama di Malaysia menerima pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Sijil tersebut diserahkan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Zaini Abdul Rahman kepada Ahli Lembaga Pengarah Wan Aimi Yusri Wan Ismail dan Pengurus Besar TDM Agrobiz, Ts. Zharudin Narudin pada satu majlis di Wisma TDM.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, penerimaan sijil MeSTI ini merupakan satu pencapaian bermakna buat TDM Agrobiz dalam memperkukuh keupayaan operasi dan standard pengurusan keselamatan makanan syarikat.

"Sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan portfolio perniagaan Kumpulan, TDM akan terus menyokong TDM Agrobiz dalam meningkatkan kecekapan
operasi serta meneroka peluang pertumbuhan yang mampan, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Zaini berkata, pensijilan MeSTI merupakan satu langkah penting dalam membantu pengusaha industri makanan khususnya perusahaan kecil dan sederhana membangunkan serta melaksanakan sistem pengurusan keselamatan makanan yang lebih teratur.
"Pematuhan terhadap aspek kebersihan, pengendalian dan kawalan keselamatan makanan bukan sahaja memenuhi keperluan
perundangan malah memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan pengguna," ujarnya.