Larangan 'Busking' Ekoran Rungutan Rakyat, Kerajaan Bantu Buskers

KEMAMAN, 22 Mac – Kerajaan Terengganu menjelaskan bahawa larangan sementara aktiviti hiburan jalanan (busking) sepanjang 10 malam terakhir Ramadan bukan bertujuan menyekat rezeki penggiat seni, tetapi sebagai langkah menghormati suasana ibadah dalam tempoh tersebut yang juga disuarakan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan netizen yang menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan bunyi dan kesesuaian hiburan pada malam-malam terakhir Ramadan.

Sehubungan dengan itu juga katanya, tindakan susulan membantu buskers akan dibuat selepas ini bagi mengurangkan kesan yang mereka hadapi.

"Kerajaan negeri tiada niat untuk menyekat sesiapa mencari rezeki, tetapi apabila ia menjadi isu yang menimbulkan keresahan rakyat, maka tindakan perlu diambil sebagai penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Peliter@Perasing di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, malam tadi.

Menurutnya, kumpulan buskers adalah sebahagian daripada ekosistem pelancongan negeri, begitu juga pesta moreh yang turut merancakkan ekonomi setempat.

Namun jelasnya, tindakan menghentikan sementara 'busking' dibuat kerana terdapat persembahan yang dianggap kurang sesuai dalam tempoh ibadah yang sangat dihormati ini.

"Ada persembahan yang dikatakan agak keras. Apabila rakyat mengkritik, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih konkrit.

"Maka, pihak berkuasa tempatan mengambil langkah menghentikan sementara aktiviti 'busking' bagi memberi ruang kepada masyarakat memperbanyakkan ibadah," jelasnya.

Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Rosli Latif sudah memberi respon positif mengurangkan bebanan buskers dalam menyambut Aidilfitri.

"Saya yakin buskers memahami keputusan kerajaan. Selepas Hari Raya Aidilfitri, mereka boleh meneruskan aktiviti seperti biasa.

"Kita juga akan meneliti garis panduan yang lebih baik untuk Ramadan akan datang," tambahnya.

Wakil Persatuan Buskers Terengganu diketuai setiausaha agungnya, Mohd Fazli A Rahman yang sempat bertemu Tokli di RnR Perasing menyampaikan memorandum sebagai penjelasan dan memohon pertemuan dengan pihak berkaitan.

 


Tag: