Lebih 11,000 Petugas KKM Siap Sedia Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Lebih 11,000 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia ditugaskan sepanjang musim banjir termasuk bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka ditugaskan untuk memastikan kebersihan di PPS terjaga dan juga melakukan saringan bagi mengelak risiko jangkitan penyakit berbahaya.

"Perancangan dan persediaan telah dijalankan di setiap negeri dimana kita telah kenal pasti tempat berisiko, juga pusat pemindahan dan kita akan memberikan perkhidmatan di pusat-pusat pemindahan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, ketika banjir banyak jangkitan penyakit berjangkit dan sebagainya dan yang membimbangkan kes-kes berisiko seperti buah pinggang yang memerlukan hemodialisis.

"Jadi kita sudah kenal pasti mereka dan akan bawa mereka ke tempat-tempat yang boleh jalankan hemodialisis supaya rawatan yang mereka diterima tidak putus," katanya.

Katanya, kes-kes yang berisiko tinggi seperti pesakit buah pinggang dikenal pasti lebih awal supaya rawatan mereka tidak terganggu ketika banjir.