Lebih 3,000 Solat Sunat Aidilfitri Bersama Sultan Mizan




KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Lebih 3,000 penduduk sekitar bandaraya ini menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini hari ini.

Sultan Mizan yang tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.10 pagi turut disertai anakanda baginda, Tengku Muhammad Mua’az.

Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta barisan kepimpinan kerajaan.

Solat sunat dan khutbah khas Aidilfitri diketuai oleh Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda bersalaman dan bermesra dengan para jemaah serta menziarahi makam diraja.

Dalam pada itu, Zulkifly ketika membacakan khutbah memberi pesanan kepada semua umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran.





"Maka hendaklah kita mengikut petunjuk al-Quran yang sentiasa memandu kita ke jalan kebenaran, al-Quran ialah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya," ujarnya.

Beliau berkata, hari ini masyarakat Islam dibelenggu dengan pelbagai gejala yang tidak bermoral kerana tidak mengambil panduan daripada al-Quran.

"Kita menyaksikan petunjuk selain al-Quran telah gagal, mereka hidup bebas mengikut hawa nafsu, akibatnya mereka tidak malu menyokong fahaman liberal dan lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT)," katanya.

Pada akhirnya, beliau menasihati umat Islam supaya mengambil iktibar dan pengajaran yang diperoleh sepanjang berada di bulan Ramadan lalu.

"Ramadan mengajar kita menjadi insan yang baik hubungan dengan Allah dan sesama umat manusia, tunjukkan kebaikan melalui persaudaraan dan mencegah segala kemungkaran yang berlaku," katanya sebelum mengakhiri khutbah.



Tag: