HULU TERENGGANU, 7 April – Suasana meriah dan penuh kemesraan menyelubungi Dewan Sivik Ajil, apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ajil semalam.
Majlis yang dianjurkan saban tahun itu sekali lagi menjadi tumpuan warga setempat dan tetamu luar yang tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah tradisional sempena Syawal.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, majlis yang bermula pada jam 11 pagi itu menjadi tumpuan penduduk dari seluruh kawasan DUN Ajil dan sekitarnya.
“Saya bersyukur dengan sambutan diterima ini, ternyata lokasi ini sangat strategik kerana ia berada di tengah-tengah kawasan serta mudah diakses dari pelbagai arah.
"Itulah sebabnya kita sediakan makanan lebih daripada cukup kerana kita jangka sambutan luar biasa. Lebih baik berlebihan daripada tidak mencukupi.
“Saya amat menghargai usaha semua pihak yang menjayakan majlis ini daripada petugas teknikal, sukarelawan, penyedia makanan, sehinggalah pihak keselamatan. Rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, menceriakan lagi suasana sambutan Aidilfitri kali ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Senator Che Alias Hamid , Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat.
Mengulas lanjut, Maliaman berkata, rumah terbuka itu sudah menjadi tradisi yang dilaksanakan setiap kali Syawal menjelma sejak beliau diberi amanah sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Majlis ini khusus untuk penduduk Ajil, namun saya turut mengalu-alukan kehadiran para tetamu dari luar kawasan. Inilah masa terbaik untuk kita eratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri.
Majlis itu bukan sahaja menjadi platform menjalin silaturahim, malah mencerminkan budaya muhibah dan semangat perpaduan yang sentiasa utuh dalam kalangan rakyat negeri Terengganu.