Lebih Banyak Produk Tempatan

KUALA TERENGGANU, 27 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan lebih ramai peruncit mengetengahkan produk tempatan, bagi menyokong perniagaan usahawan dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata, langkah tersebut mampu memberikan satu petanda yang baik dalam mengaktifkan semula ekonomi masyarakat terutama mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kebanyakannya produk tempatan mudah diperolehi dan juga berkepentingan  khususnya masyarakat Islam termasuk status halal,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas merasmikan penjenamaan semula pasar raya Ameen Hallmart dekat sini, hari ini.

Menurut Azman, Ameen HallMart memiliki dan menjual lebih dari 5,000 unit penyimpanan stok (SKU) yang terdiri dari barang makanan, keperluan rumah, barang keperluan diri, supplemen kesihatan dan pakaian dengan jualan berjumlah lebih dari RM60juta setahun.

Katanya, lebih membanggakan 90 peratus dari SKU itu adalah barangan keluaran bumiputera yang memiliki standard kualiti yang terjamin dan dijual pada harga yang kompetitif yang memberikan pilihan yang luas kepada pengguna.

“Ameen HallMart boleh dijadikan platform contoh untuk Kempen Beli Barangan Malaysia dan salah satu rakan strategik Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di negeri Terengganu,”ujarnya.