Penggiat Di Lima Pusat Peranginan Selesai Vaksin Akhir Ogos
KUALA NERUS, 31 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan penggiat pelancongan di empat pusat peranginan dan Tasik Kenyir selesai menerima suntikan dos kedua pada akhir Ogos sebagai persediaan menerima pelancong sebaik sektor pelancongan kembali dibuka.
Perkembangan tersebut dikongsi Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria, katanya antara pulau terlibat ialah seperti Pulau Redang akan selesai suntikan dos kedua pada akhir Ogos dibawah program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK).
“Menerusi program outreach ini juga, penduduk serta para penggiat industri yang terdiri daripada pengusaha, pekerja hotel dan resort serta pemandu bot menerima suntikan vaksin meyakinkan kepada pelancong untuk ke Terengganu menerusi gelembung pelancongan domestik.
“Melalui proses imuniti kelompok ini, gelembung tersebut akan menjadi lebih selamat, tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga ketat dengan bukti tiada kes positif di sini,” katanya ketika ditemubual pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak.
Menjelas lanjut berkenaan tahap kesiapsiagaan industri tersebut, Fadli berkata, pihaknya mengarahkan seluruh penggiat pelancongan seperti pengusaha resort dan hotel untuk kekal bersedia menerima tetamu.
“Kita tidak boleh jangka bila boleh dibuka (sempadan), namun kami yakin dengan imuniti kelompok dalam masa dua bulan akan datang pelancongan yang terjejas teruk akan rancak kembali,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tourism Terengganu turut menyantuni 110 petugas barisan hadapan di PPV Pulau Redang dengan menyumbang barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai tanda sokongan atas keringat menjayakan kerja vaksinasi di sini.