HULU TERENGGANU, 28 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim memohon maaf kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Berang kerana tidak dapat menghantar bekalan makanan dan pakaian tepat pada masanya susulan lori bantuan yang dinaikinya terbalik.
"Saya memohon maaf kerana terlewat menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi (semalam).
"Alhamdulillah bantuan sama telah dihantar oleh pasukan lain selepas lori kami tak dapat meneruskan perjalanan kerana terbalik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Misi menghantar bantuan asas kepada mangsa banjir cemas apabila jentera dinaiki Maliaman bersama 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) hampir dibawa arus deras banjir di Sungai Kampung Lebak.
Menurutnya, beliau antara 16 orang yang menaiki jentera tersebut setelah mereka menawarkan diri bagi menghantar bantuan bekalan asas tersebut.
Katanya, misi tersebut terpaksa melalui laluan Kuala Berang untuk sampai ke ajil kerana jalan itu sahaja yang boleh diakses.
“Namun begitu, sampai di jambatan, arus sungai terlalu laju dan ia menghanyutkan segala bekalan mentah apabila air memasuki bahagian dalam lori.
“Alhamdullilah, setelah 20 minit, kami diselamatkan oleh para sukarelawan kampung (dihantar polis) dan mengelakkan risiko dihanyutkan arus air banjir,” katanya yang mengalami kecederaan di kaki.
Jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan hadapan bencana banjir termasuk warga komuniti tempatan yang bekerja sama dalam mengharungi bencana tersebut.