Mac Diiktiraf Bulan Sukan, Rekreasi DUN Bukit Besi
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 3 Mac- Mac akan dijadikan sebagai bulan sukan dan rekreasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sebagai usaha membudayakan masyarakat ke arah kehidupan yang sihat.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap bulan sewajarnya diangkat dengan tema tertentu, bagi memastikan penduduk mampu memberi tumpuan dan komitmen demi kejayaan yang jitu dalam setiap bidang dan aspek kehidupan.
"Untuk mencapai tujuan itu, kita menjadikan Mac ini sebagai bulan yang khusus untuk sukan dan rekreasi.
"Sudah tentu kita komited dan bersungguh-sungguh ingin mewujudkan satu suasana yang baik, aman dan harmoni dalam kehidupan masyarakat. Dan menjadi bukti kecaknaan kepada kita dalam meraikan masyarakat yang sukakan kehidupan yang sihat dalam melakukan pelbagai jenis sukan serta turut memberi galakan kepada mereka yang suka berekreasi," ujarnya.
Beliau berkata kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman sempena pelancaran Kelab Belia Sejahtera, di Kampung Bukit Besi, di sini, semalam.
Menurut Ghazali, setiap pihak sama ada Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setiap cawangan dalam DUN itu juga perlu bekerjasama dan saling berperanan dalam menjayakan bulan tersebut.
"Kita akan sasarkan pelbagai program sukan dan rekreasi untuk kita lakukan dalam bulan ini.
"Kita menggambarkan satu suasana positif akan dapat dijelmakan dan akan mewujudkan hubungan yang baik melibatkan seluruh masyarakat,"katanya.
Tambahnya, suasana yang aman, damai dan harmoni akan dapat mewujudkan Bukit Besi Sejahtera (BBS) sekali gus menjayakan Terengganu Maju Berkat Sejahtera.