Madinah Ramadan Diberi Nafas Baharu, Kehebatan Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Program Madinah Ramadan pada tahun ini akan diberi nafas baharu dengan lebih hebat melalui kaedah pelaksanaan dan pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada kali ini Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus menjadi lokasi pilihan berbanding lokasi terdahulu iaitu Dataran Batu Buruk atau Dataran Jambatan angkat.

Ujarnya, pemilihan masjid terbabit merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan institusi masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadat tetapi juga menjadi lokasi untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

"Tema yang diangkat pada kali ini ialah Ramadan 'Bulan Perjuangan' kerana kita hendak menitikberatkan soal perjuangan dalam diri rakyat negeri ini khususnya apabila melihat apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini khusunya di Palestin.

"Dan juga supaya wujud kebersamaan dengan saudara-saudara kita di sana (Palestin) dalam sudut perjuangan dan jihad membebaskan Baitulmaqdis," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.

Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata program-program bermanfaat yang pernah diadakan sebelum ini diteruskan seperti program ilmu oleh penceramah jemputan, Iftar Jamaie pada setiap Khamis dan Jumaat, Tazkirah Ramadan secara harian, Sambutan Nuzul Quran dan Qiamullail Perdana.

"Kita juga turut menambahkan aktiviti seperti iktikaf di masjid dan  jadikan ia satu perkara yang normal dalam masyarakat sebagai langkah mendidik.

"Jadi Madinah Ramadan ini adalah salah satu langkah kerajaan untuk terus mendidik umat Islam di negeri ini supaya mempunyai dan mendapat ilmu serta suntikan semangat rohani di bula yang penuh kemuliaan itu nanti," ujarnya.

Katanya lagi, keistimewan Madinah Ramadan pada kali ini turut  menampilkan imam khas dari Mesir iaitu Qari Syeikh Fathy Abdelrahman Nasreldin Moussa Ahemd di samping para iman tempatan terbaik yang akan diketengahkan melalui kaedah penggiliran imam yang akan dilaksanakan nanti.