Madinah Ramadan Sedia Juadah Berbuka Percuma, Ringankan Beban Golongan B40

KUALA NERUS, 18 Mac - Madinah Ramadan di Masjid Baru Tok Jembal di sini, mampu menjimatkan perbelanjaan iftar bagi penduduk dan pelajar universiti  sekitar.

Pengerusi masjid itu, Hafizatul Najmi Pizat berkata sejak dibuka Selasa lalu ramai dari kalangan pelajar termasuk dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) berhampiran berkunjung ke masjid itu untuk mendapatkan Iftar percuma yang disediakan pihak masjid setiap hari.

Katanya pada hari biasa pihak masjid menyediakan pelbagai juadah berbuka untuk 500 hingga 1,000 pengunjung.   

"Hari Khamis ini, pihak masjid menyediakan peruntukan RM30 ribu bagi juadah berbuka untuk 2,000 pengunjung yang akan mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus sempena madinah ramadan di masjid itu.

"Dari jumlah itu kira-kira 700 kakitangan kerajaan akan hadir di perkarangan masjid untuk berbuka puasa bersama Ustaz Azhar pada hari Khamis ini," katanya ketika ditemui selepas majlis iftar di masjid berkenaan di masjid itu di sini hari ini.

Sementara itu tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati pengunjung menyambut baik aktiviti Madinah Ramadan itu sambil menyifatkannya yang terbaik bagi bulan Ramadan tahun ini di masjid berkenaan.

Salah seorang penduduk Tok Jembal. Khalid Jusoh, 58, berkata pengunjung masjid itu bertambah lebih dari biasa untuk iftar, solat terawih dan mengikuti kuliah Ramadan di masjid tersebut.

"Madinah Ramadan adalah program terbaik sempena Ramadan di masjid ini dengan kehadiran ahli qaryah bertambah dari sebelum ini," ujarnya.

Seorang pelajar dari UniSZA, Siti NurSabreena Wahab, 23, berkata iftra percuma meringankan beban  golongan B40 dan pelajar universiti berdekatan di samping mereka dapat bersolat terawih dan mendengar kuliah Ramadan di masjid tersebut.

Bagi Ahmad Ibrahim Md Tahir, 22, juga  dari UniSZA berkata pelajar universiti dapat berbuka puasa seperti biasa dengan berkunjung di Madinah Ramadan walaupun mempunyai masalah kewangan.

"Dengan adanya Madinah Ramadan, pelajar universiti seperti saya dapat berbuka puasa seperti biasa walaupun duit PTPTN belum masuk dalam akaun bank saya," jelasnya.

Justeru itu beliau bagi pihak pelajar mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana meneruskan program Madinah Ramadan walaupun menghadapi kekangan kewangan.


Tag: