MAHA 2018: Pavilion Terengganu Raih Tempat Kedua Terbaik


KUALA LUMPUR, 2 Disember - Tampil dengan pelbagai keunikan dan aktiviti menarik antara faktor kemenangan tempat kedua terbaik yang dicapai Terengganu pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Pavilion Terengganu yang diperbuat daripada kayu cengal menyajikan lebih 12 aktiviti sepanjang pameran yang berlangsung selama 12 hari, bermula 22 November dan berakhir hari ini.


Antaranya pengunjung dapat melihat secara dekat penyu albino, demontrasi membuat nasi dagang, keropok lekor dan pelbagai makanan tradisional Terengganu, selain pertunjukan mencanting batik dan sutera.

Hadiah kemenangan diterima oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri,YB Hilmi Harun pada majlis penutupan MAHA 2018 pagi tadi.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kemenangan itu menjadi pendorong kepada Kerajaan Terengganu yang dibantu 33 jabatan di bawah portfolionya  untuk mencuba yang terbaik pada MAHA akan datang.

“Tidak mustahil dengan kerjasama, idea, sokongan dan semangat kerja berpasukan Terengganu mampu mengulangi kejuaraan seperti yang pernah diraih pada 2014 dan tempat kedua pada 2016,” katanya.

Terengganu merekodkan lebih 35,000 pengunjung dengan catatan jualan kira-kira RM140,000 sepanjang pameran berlangsung.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Tuan Faizah Abd Rahman serta beberapa ahli rombongan  sempat mengunjungi Pavilion Terengganu pada 30 November lalu.

  


Tag: