Mahasiswa Terengganu Perlu Bersedia Hadapi Cabaran Masa Hadapan
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 22 September – Mahasiswa Terengganu khususnya perlu membuat persiapan rapi untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar selepas negara dilanda oleh pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun yang lalu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, beliau menggariskan tiga perkara utama bagi bakal graduan untuk mempersiapkan diri mereka apabila terjun ke dunia sebenar termasuk perubahan dalam politik dan keperluan sosial.
“Dalam konteks berpolitik kerajaan sudah mengiktiraf golongan muda yang mana diperingkat parlimen telah luluskan akta yang mana menurunkan hak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Bahkan sudah diusahakan pendaftaran automatik. Cukup 18 tahun ke atas mereka layak mengundi.
“Hak orang muda juga diberikan perhatian termasuk menjadi calon dan mengikut analisa terakhir jumlah pengundi muda dihubung kait undi penentu Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,’ jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Penutupan Rasmi Persidangan Mahasiswa Intelektual 2021 (PRIMA 2.0) yang diadakan secara atas talian pada hari ini.
Menurutnya, beliau menyokong program ini dilaksanakan kerana ia menjadi satu platform untuk mahasiswa khususnya mengasah bakat kemahiran insaniah dalam diri masing-masing sekaligus membantu mereka meningkatkan keyakinan diri semasa berhadapan dengan masyarakat.
“Kita kena berhati-hati oleh kita sebagai orang Islam kena ada dan bawa jati diri sebagai orang Islam walau di mana kita berada.
“Macam kita kata ikan dilautlah walaupun air laut itu masin tetapi daging ikan itu tetap tawar kerana ia ada jati diri,” ujarnya.
Sementara itu katanya, golongan muda mesti bersedia menghadapi apa jua cabaran dan tidak boleh terlalu memilih pekerjaan apabila keluar daripada institute pendidikan tinggi (IPT) nanti.
“Kalau kita mempunyai satu kemahiran dalam bidang ICT umpamanya, ia dapat banyak membantu kita dalam apa bidang sekalipun. Saya selalu sebut kepada mahasiswa supaya kuasailah bidang ICT.
“Kalau kita keluar dari kampus nanti apa peluang dan kemahiran yang ada pada kita ini untuk memberikan dalam bentuk kertas kerja, cadangan yang konkrit dan apa yang kita nak nak lakukan dalam konteks anak Terengganu, kita ingin bersama dalam arus pembangunan negeri Terengganu,” katanya.
Dato Yahaya menambah, golongan muda adalah aset yang sangat penting dan kerajaan mengiktiraf mereka sebagai pemegang taruh yang mana Terengganu menghargai pandangan, permasalahan dan cabaran yang dihadapi mereka.
“Bahkan kalau kalau kita bincang diperingkat nasional umpamanya banyak kepimpinan kerajaan di banyak negara sekarang ini menjadikan satu kluster bagi nasihat kepada kerajaan adalah golongan muda.
”Mereka jadikan golongan ini sebahagian penasihat mereka. Orang muda lebih tahu apa yang ada dalam dunia orang muda, dari segi apa kehendak mereka, apa keutamaan , apa cabaran yang mesti diselesaikan oleh pihak berwajib untuk mereka menjadi sebahagian daripada mata rantai dalam arus pembangunan dalam sesebuah negeri,” tambah Dato Yahaya.