Mahasiswa Timur Tengah Terharu Keprihatinan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 16 Mei- Rata-rata mahasiswa yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu bersama Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA) yang diadakan di Hotel Opal, Amman baru-baru ini menzahirkan rasa terharu atas keprihatinan kerajaan negeri.
Salah seorang pelajar, Ahmad Amirul Khasyfi Mohd Azam, 22, berkata, kunjungan delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu cukup bermakna buat mahasiswa Terengganu di luar negara Timur Tengah.
Mahasiswa Tahun Satu Mu’tah University itu merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu yang lain kerana mengadakan lawatan seterusnya menganjurkan majlis ramah mesra tersebut.
"Dengan adanya lawatan dan majlis ini dapat mengubati rindu kami kepada negeri tercinta iaitu Negeri Terengganu Darul Iman.
"Di samping itu, majlis dan lawatan ini juga dapat mengeratkan ukhwah Islamiah di antara pelajar dan kepimpinan kerajaan negeri," ujarnya.
Amirul turut mengharapkan lawatan dan majlis sebegitu akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, Mahasiswi JUST University, Nurul Hanna Sufiyah Zulkilflee, 19, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar bersama delegasi Kerajaan Negeri Terengganu kerana sudi meluangkan masa bersama anak-anak Terengganu yang menuntut di Timur Tengah.
"Bagi saya program tersebut dapat mengeratkan ukhwah antara mahasiswa dan kerajaan negeri.
"Selain membangkitkan semangat mahasiswa dalam menuntut ilmu supaya dapat kembali ke tanah air dengan kejayaan, ianya juga dapat menyuntik hati mereka untuk menabur bakti kepada negeri Terengganu yang tercinta" ujarnya.
Terdahulu, dalam majlis tersebut, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA).
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Education Malaysia Jordan, Dr Radzuan Ab Rashid.