Mahkamah Sesyen, Majistret Setiu Mula Operasi Hari Ini

SETIU, 10 Januari - Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Taman Tarom Permai, Mukim Tasek Setiu mula beroperasi, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, perpindahan dua mahkamah itu ke premis baharu bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam serta pihak yang berurusan dengan mahkamah.

"Perpindahan ini juga diharap dapat melengkapkan kemudahan dan memberi keselesaan  kepada pegawai dan kakitangan mahkamah yang bertugas di kedua-dua mahkamah berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Menurut Takiyuddin, Mahkamah Sesyen dan Majistret  Setiu sebelum ini beroperasi di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di tengah-tengah Bandar Permaisuri.

“Premis mahkamah di tapak asal yang berusia kira-kira 33 tahun mempunyai ruang pejabat terhad dan kurang kemudahan khas bagi orang kelainan upaya (OKU) dan orang awam yang berurusan dengan mahkamah.

“Ketika membuat lawatan kerja ke Mahkamah Setiu pada 22 Jun tahun lepas, saya telah bersetuju agar Mahkamah Setiu dipindahkan sementara ke bangunan baru yang lebih selesa dan kondusif,” ujarnya.

Katanya, pada masa yang sama kerajaan sedang mengusahakan satu bangunan kekal bagi Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu ini di Kampung Binjai Manis, Mukim Hulu Setiu.

“Kita jangkakan projek pembinaan mahkamah di atas tanah seluas 3 ekar ini dapat dilaksanakan pada 2023 dengan anggaran kos RM30 juta,” ujarnya.

Katanya, Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu baharu yang beroperasi di bangunan yang disewa sementara ini akan dijadikan model untuk dilaksanakan di lokasi lain di seluruh negara.

“Selain itu, kita juga telah kenal pasti lima mahkamah litar yang sedang beroperasi di bangunan yang tidak berapa selesa untuk orang awan serta pegawai dan kakitangan sendiri.

“Masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta satu di Johor. Untuk tahun ini kita akan naik taraf atau melakukan penambahbaikan tiga buah terlebih dahulu iaitu di Pengerang (Johor), Papar (Sabah) dan Mukah (Sarawak).