lightning-solid
Berita :
ECRL : Terengganu Ambil Langkah Proaktif Rangka Strategi Logistik Baharu
ECRL : Terengganu Ambil Langkah Proaktif Rangka Strategi Logistik Baharu
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
111

TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif merangka strategi logistik baharu bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan sektor pertanian negeri dapat dimanfaatkan secara optimum menjelang pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada November 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim meletakkan sasaran agar kemudahan pengangkutan rel berprestasi tinggi itu dapat menyelesaikan isu jurang logistik yang selama ini menjadi cabaran utama para pengeluar makanan di negeri berkenaan.

Beliau mengesahkan satu pertemuan rasmi telah diadakan di Putrajaya semalam bersama Chief Executive Officer (CEO) MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak bagi meneliti ruang serta peluang kerjasama rentas sektor.

"Sebelum ini antara keterbatasan kita sebagai antara pengeluar makanan utama negara ialah isu logistik dan kemudahan pengangkutan.

"Justeru, kita mahu memanfaatkan ECRL secara agresif untuk melonjakkan lagi potensi serta prestasi sektor pertanian Terengganu ke tahap lebih tinggi," katanya.

Turut menyertai perbincangan strategik tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Hj Rosli Latif dan Pemangku Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tuan Hj Azran Amin Mazlan.

Dr Azman turut melahirkan penghargaan atas keterbukaan serta maklum balas positif yang diberikan pihak MRL dalam memulakan jalinan kerjasama ini.

Inisiatif ini dijangka bakal memberikan impak gandaan (multiplier effect) kepada rantaian bekalan makanan tempatan, membolehkan hasil pertanian dan komoditi Terengganu dihantar ke pasaran luar dengan lebih pantas, segar dan pada kos logistik yang lebih kompetitif.


Tag :

Artikel Berkaitan