Maidam Anjur Buka Puasa, Sahur Sepanjang Ramadan


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menganjurkan majlis berbuka puasa dan bersahur di semua hospital seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, Maidam hanya bertanggungjawab sebagai penyelaras program pengagihan makanan dan minuman yang akan mengutamakan penjaga pesakit itu dan segala perbelanjaan untuk menyediakan juadah adalah menerusi sumbangan orang ramai.

“Dalam usaha membudayakan orang berpuasa memberi makan kepada orang yang berpuasa sebagaimana saranan Rasulullah SAW, Maidam tidak akan menggunakan duit zakat untuk tujuan ini, sebaliknya bergantung kepada sumbangan orang ramai sepenuhnya.

“Lebih kurang seminggu sebelum puasa, tabung-tabung untuk membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan akan diletakkan di merata tempat termasuk masjid dan juga hospital,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat perniagaan oleh Telekom Malaysia (TM) Terengganu kepada Maidam di Pejabat Maidam, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Negeri TM Terengganu, Hamidun Ismail.

Menurut Shaikh Harun, selain memberi galakan kepada masyarakat untuk menghulurkan sumbangan, program ini secara tidak langsung membuka ruang kepada jabatan kerajaan mahu pun swasta yang ingin menjalankan tanggungjawab sosial khususnya pada bulan yang mulia ini.

“Diharapkan seluruh masyarakat dan semua jabatan di negeri ini mengambil peluang untuk meringankan beban mereka yang memerlukan sekali gus mengimarahkan lagi sambutan Ramadan,” ujarnya.

Tag: