MAIDAM Mahu Setiap Masjid Ada Koperasi

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedang giat mengerakkan usaha bagi memastikan setiap masjid di negeri ini mewujudkan koperasi.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata setakat ini hanya 28 buah masjid yang mewujudkan koperasi.

Menurutnya antara yang paling aktif koperasinya ialah Masjid Nur Bakti (Kuala Nerus), Masjid Binjai (Kemaman) dan juga Masjid Tok Ku (Kuala Terengganu).

"Kita hendak memastikan ia bertambah supaya setiap masjid dalam negeri supaya institusi ini juga berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat.

"Sekarang ini kita sedang dalam usaha untuk mempromosikan perkara ini bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan mengadakan seminar bagi menerangkan kepada masjid apa kegiatan yang sewajarnya dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Pejabat MAIDAM, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, bagi mewujudkan kegiatan ekonomi di institusi berkenaan dengan membincangkan usaha tersebut di peringkat jawatankuasa masjid dan akan memberi impak yang sangat baik untuk masjid melakukan pelbagai agenda dan perancnagan termasuk membantu golongan miskin.

"Melaluinya 'food bank' pun kita boleh buat, juga kita boleh fokuskan untuk masjid memiliki dana sendiri bagi mengurus segala aktiviti," katanya.